Selama 12 minggu menduduki dan belajar di dalam kelas PQI 6004, banyak perkara, ilmu, nilai dan pengalaman yang berharga dapat di ambil sebagai panduan dan rujukan untuk menghadapi dunia pekerjaan yang sebenar kelak. Antara faktor-faktor yang memberikan impak di dalam pembelajaran kursus ini adalah seperti berikut:
Setiap kali tamat sesi kuliah pada setiap hari Jumaat, antara pengalaman pembelajaran yang dapat saya ambil adalah aktiviti yang dijalankan amat berkesan dan bermanfaat untuk diadaptasikan di dalam dunia pekerjaan sebenar. Penyampaian pengajaran oleh pensyarah yang bersahaja dan santai memberikan suasana selesa yang menjadikan komunikasi dua hala berlaku dengan lebih efektif. Disamping itu, pendekatan pensyarah mendedahkan pelajar kepada dunia teknologi terkini seperti penggunaan 'QR code' untuk mengakses maklumat, penggunaan 'VR gear' untuk mengalami pengalaman bermain permainan interaktif, menonton video dan sebagainya dapat membuka peluang dan memberikan idea kepada pelajar untuk lebih kreatif dan inovatif di dalam mendidik.
Selain itu, pembelajaran merekabentuk kurikulum dan aplikasinya dapat memberikan galakan dan pemahaman yang lebih menyeluruh kepada pelajar untuk memahami struktur kurikulum Malaysia dan negara-negara lain. Sehubungan itu, pelajar juga secara langsung terdedah untuk menganalisis, mengkaji dan mengkritik kandungan kurikulum sedia ada untuk menambahbaik dan membangunkan sebuah kurikulum yang memberi impak besar dalam dunia pendidikan.
Setiap minggu waktu pembelajaran di dalam kelas PQI 6004 di bawah bimbingan Dr. Dorothy memberikan pengalaman dan pengetahuan yang berbeza kepada diri saya. Di akhir kelas juga, saya akan mendapat maklumbalas dan penilaian pada hari yang sama di atas pencapaian semasa. Penilaian yang diberikan dapat membuka ruang kepada saya untuk lebih fokus dan berusaha untuk menampilkan prestasi yang baik pada kelas-kelas seterusnya.
Sementara itu, banyak nilai-nilai yang dapat saya tonjolkan kepada kawan sekelas dan sebaliknya untuk menjadikan saya seorang yang lebih memahami keperluan mempunyai akhlak yang baik. Antara nilai-nilai yang dapat diterapkan adalah berusaha, bertoleransi, bekerjasama, kreatif, berfikiran terbuka, sentiasa positif dan banyak lagi.
Seterusnya, terdapat juga beberapa kemahiran baharu dan sedia ada yang dapat digilap semasa dan selepas sesi pembelajaran. Antaranya adalah kemahiran komunikasi yang baik, kemahiran menyelesaikan masalah secara kreatif, kemahiran bekerja dalam kumpulan dan banyak lagi.
Kesimpulannya, keberkesanan di dalam sebuah pembelajaran dan pengajaran memerlukan tanggungjawab yang besar untuk digalas sama ada oleh pensyarah dan pelajar. Kedua-dua pihak ini perlu saling memberi kerjasama untuk dapatan yang lebih berkesan semasa sesi pembelajaran berlangsung. Oleh itu, secara khususnya kursus ini bukan sahaja memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk mempelajari kurikulum dan merekabentuk rancangan pengajaran harian malah, ia memberikan pengalaman yang sangat bermakna untuk pelajar lebih terbuka di dalam menghadapi cabaran-cabaran baru yang akan dilalui untuk waktu sekarang dan masa depan. Semoga, semua pelajar Diploma Pascasiswazah Pendidikan Sesi 2018/2019 akan diberi kemudahan dan landasan yang betul dalam menghadapi pelajar abad ke-21.















